"siapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya."(riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Tuesday, February 22, 2011

Membina Keluarga Islamiyah

Membina Keluarga Islamiyah
Oleh Ustaz Hassan Basri
Ustaz Hassan Basri menerangkan tentang pendidikan anak-anak bermula dari rumah, bahawa akhlak anak-anak yang baik dan buruk adalah hasil didikan ibu-bapa, seperti yang diterangkan dalam Al-Quran bahawa sebelum manusia itu dijadikan di dalam alam roh, manusia telah membuat perjanjian dengan Allah Taala dan mereka telah bersetuju dengan perjanjian tersebut. Maksud hadis Rasulullah SAW, Semua anak adam dilahirkan dalam keadaan fitrah yaitu bersih, suci, baik dan makna fitrah disini adalah agama Islam. Maka apabila kita dilahirkan sebagai orang Islam maka kita harus mensyukuri nikmat Allah, dan ibu bapa yang menjadikan anak itu yahudi, nasrani atau majusi. Makna hadis bahawa ibu-bapa yang mendidik anak tersebut menjadi seorang yang beriman atau sebaliknya.
Ustaz juga menerangkan perbezaan antara Islam dan Iman, Islam adalah agama yang kita anuti, ia boleh diwarisi dari ibu-bapa kita, ibu-bapa yang beragama Islam akan melahirkan anak-anak yang beragama Islam, tetapi iman tidak boleh diwarisi ia adalah sesuatu yang perlu kita cari apabila kita mengaku bahawa kita adalah orang Islam maka kita wajib lakukan segala perintah Allah Taala dan menjauhi larangannya. Allah menerangkan di dalam Al-Quran surah Al Hujuraat ayat 14:
“ Orang-orang Arab Badwi itu berkata: “ kami telah beriman”. Katakanlah
( kepada mereka ) : “kamu belum beriman, tetapi katakanlah “ kami telah tunduk”, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu. Dan jika kamu ta’at kepada Allah dan Rasul-Nya, dia tiada mengurangi sedikitpun pahalamu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ayat ini menerangkan bahawa apabila orang arab badwi mengaku bahawa mereka telah beriman maka Allah menjawab bahawa mereka belum lagi beriman kerana iman itu sesuatu yang masuk ke dalam hati dan terpancar dengan perbuatan yang merupakan taat kepada perintah Allah Taala.
Jati diri orang Islam adalah keimanan yang teguh yang ditunjukkan oleh sahabat-sahabat nabi hasil didikan oleh Rasulullah SAW, mereka menjadi orang muslim yang benar-benar beriman. Sejarah membuktikan bagaiman Rasulullah SAW berjaya melahirkan orang-orang yang hebat, seperti:
1) Umar Al – Khattab
2) Bilal bin Rabbah
3) Ibn Mas’ud
4) Mohamad Al – Fatih
Bagaiman ingin membina keluarga yang mempunyai jati diri

Ustaz menceritakan tentang seorang bapa yang datang mengadu kepada Umar Al-Khattab tentang anaknya yang derhaka kepadanya, lalu umar pun berjumpa dengan pemuda tersebut dan bertanya kenapa kamu derhaka pada bapa kamu? Pemuda itu menjawab: Ya amirul mukminin sebelum saya menjawab soalan ini saya ingin bertanya apakah tanggungjawab seorang ayah kepada anaknya, Umar menjawab:
- memilih seorang ibu yang solehah untuk anak-anak
- Menamakan anak-anak dengan nama yang baik
- Memberi anak-anak dengan didikan Islam

Lalu pemuda itu pun menjawab bahawa ayahnya telah derhaka kepadanya, dia telah berkahwin dengan seorang perempuan gelek, telah memberi nama Tawatu’ bermakna
( batman ) dan tidak pernah mengajar agama kepadanya. Oleh itu menjadi tanggungjawab seorang pemuda Islam memilih isteri yang Solehah, menamakan dengan nama yang baik untuk anak-anak, dan mendidik mereka dengan didikan agama.

Ustaz juga menyentuh tentang hidayah, bahawa hidayah tidak ada dengan sendirinya, ia perlu dicari dan Allah Taala yang memberi hidayah pada orang-orang yang dikehendakinya. Hidayah itu datang bagi orang-orang yang Allah kehendaki. Seperti mana Allah memberi hidayah pada “ Ashabul Kahfi” pemuda-pemuda gua, mereka merupakan anak-anak menteri yang kaya-raya dan apabila Allah memasukkan hidayah di dalam hati mereka lalu mereka menentang raja mereka yang kafir, sehingga mereka terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di dalam gua. Surah Al- Kahfi ayat 13 maksudnya: “ kami ceritakan kisah mereka kepadamua (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk”.Sebagai orang Islam yang beriman kita harus menjadikan kisah-kisah nabi sebagai teladan yang patut kita ikuti yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan, contoh kisah isteri dan anak nabi Nuh a.s yang derhaka dan engkar pada ajaran Islam lalu Allah Taala menghancurkan mereka bersama kaumnya yang engkar.

smile always

No comments:

Post a Comment