"siapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya."(riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Thursday, December 13, 2012

sahre share

Ada banyak kes, manusia cuba menjadi baik, jadi pandai, jadi berjaya, tapi tak mampu juga. Dia dah usaha banyak kali, tetapi asyik gagal sahaja untuk mencapai kebaikan.

Akhirnya dia kecewa. Putus asa. Dan berkata: “Allah dah takdirkan aku macam ini nampaknya”

Kesilapan orang sebegini adalah, dia tidak melihat keluasan kasih sayang Allah padanya.


Apakah dia tidak melihat, bahawa umur masih ada padanya, masa masih bergerak di sekelilingnya, usianya masih diterus sambung? Jadi, di mana peluang untuk berputus asa? Putus asa ini hanya bila mati sahaja. Sebelum mati, kita punya banyak peluang dan ruang untuk berusaha. Tidakkah kita melihat kasih sayang Allah pada ketika ini?

Kesukaran kita mendapat kebaikan adalah satu ujian. Ia bukan satu alasan untuk mengambil keburukan dan redha dengan kerosakan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mulk ayat 2:

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup bagi menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang terbaik amalannya; dan Dia itu Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);”

Ujian perlu ditempuh dengan kecekalan. Bukan berputus asa.

Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir” Surah Yusuf ayat 87.

Hanya yang tidak percaya kepada Allah sahaja akan berputus asa.

Lihat. Pilihan di tangan anda. Kenapa anda memilih untuk tidak berusaha sampai ke akhirnya?

Kita banyak songeh dengan menyalahkan Allah SWT itu dan ini. Sedangkan, Allah tumpahkan kepada kita banyak kebaikan. Keburukan-keburukan yang berlaku dalam hidup kita, majoritinya adalah kerana diri kita sendiri.

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah As-Syuura ayat 30.

Kita lupa, bahawa Allah tidak pernah membutuhkan kita. Kita yang memerlukanNya.

“Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Toha ayat 132.

Maka, apakah patut kita mengkhianati kasih-sayangNya yang luas itu dengan memilih keburukan, memilih untuk berputus asa, dan tidak bergerak untuk berusaha sehingga ke akhirnya?

Ketahuilah, walau usaha kita itu tidak berhasil, tetap ada pahala pada usaha itu.

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” Surah Al-Zalzalah ayat 7.

Besarnya kasih sayang Allah. Kita yang mengkhianatiNya.
-------------------------------
Petikan Buku Motivasi Untuk Kita Pendosa: Harapan Selalu Ada!


smile always

No comments:

Post a Comment